ANAK saudara bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa dan bekas pekerjanya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini daripada tiga tuduhan rasuah berhubung tindakan tidak melaporkan mengenai kemasukan pekerja asing kepada pihak imigresen, enam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membebaskan R. Naveen Kularasa, 51 yang juga pembantu peribadi Sivarasa dan pemandu van, Nico Kam Joo Hoe, 25 selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat bahawa Pejabat Peguam Negara menerima representasi kedua-dua tertuduh.
Noralis berkata, sehubungan itu pendakwaan menarik balik tuduhan dan melepas tanpa membebaskan Kularasa dan Joo Hoe.
Bagaimanapun, peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Joo Hoe memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan kerana aduan mengenai kes itu dibuat pada 2017 manakala dia pula dituduh pada tahun lalu yang memakan masa yang lama.
“Adalah tidak adil untuk membiarkan kedua-dua tertuduh terus dibelenggu dengan pertuduhan itu dan sepatutnya kes berkenaan dibawa kepada pengakhiran,” katanya, lapor Berita Harian.
Katanya, malah pendakwaan tidak memberikan alasan kenapa mereka tidak harus dilepas dan dibebaskan.
Selepas mendegar hujahan itu, Azura memutuskan melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh dan memerintahkan wang ikat jamin berjumlah RM10,000 seorang dikembalikan kepada penjamin masing-masing.
Mengikut pertuduhan pertama, Kularasa dan Joo Hoe didakwa bersama-sama secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada Mono Miah Siddikur Rahman iaitu lelaki warga Bangladesh.
Wang itu sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn. Bhd. milik lelaki itu yang dikatakan membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.
Bagi tuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa dengan niat bersama-sama iaitu secara rasuah bersetuju menerima wang tunai RM45,000 dan RM20,000 bagi diri mereka daripada pemilik syarikat sama melalui tertuduh kedua (Joo Hoe) berhubung perkara sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, Kularasa diwakili peguam M. Puravalen.
Leave a Reply