Ahli UMNO pasti bangga pemimpin PKR,DAP hadir ke Dewan Merdeka

PEMIMPIN dan ahli UMNO akan berkumpul lagi di Dewan Merdeka pada Jumaat dan Sabtu ini bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

Mereka pasti bangga kerana dewan dianggap keramat itu akan menyaksikan satu lagi peristiwa bersejarah apabila Anwar Ibrahim yang dipecat oleh UMNO pada 1998 akan kembali ke situ sebagai tetamu kehormat perhimpunan.

Itu kali kedua, Presiden PKR yang kini menjadi Perdana Menteri menjejakkan kaki ke dalam dewan tersebut. Kali pertama pada 14 Mei lalu ketika berlangsungnya Konvensyen Kerajaan Perpaduan. 

Tetapi kehadiran pada Jumaat ini lebih istimewa kerana beliau adalah tetamu kehormat dan akan datang bersama rakan karib PKR dan sahabat UMNO dalam kerajaan iaitu DAP.

Kalau dahulu setiap kali perbahasan PKR dan DAP menjadi sasaran serangan tetapi kali ini tidak lagi, sebaliknya kita akan mendengar komitmen padu UMNO untuk terus bersama dengan PKR dan DAP.

Pemimpin dan ahli UMNO berjiwa besar kerana bukan senang mahu menerima kehadiran dua parti yang suatu ketika dahulu pemimpinnya menganggap UMNO ‘parti korup, pemimpinnya pencuri,penyamun’.

Janganlah berasa kecewa dengan sikap UMNO itu kerana kalau tanpa sokongan dua parti tersebut tidak mungkin UMNO berada dalam kerajaan sekarang. Tidak mungkin Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dapat kembali menjadi Timbalan Perdana Menteri dan beberapa pemimpin UMNO  menduduki jawatan Menteri.

Tidak mengapa UMNO kalah teruk dalam PRU-15, tidak mengapa UMNO ditolak rakyat itu tidak penting, apa yang penting ialah UMNO kini berada dalam kerajaan. Tak kisahlah dianggap penumpang, asalkan jadi kerajaan.

Lagipun bukankah Ahmad Zahid sendiri sudah memberi komitmen akan terus bersama PKR dan DAP dalam kerajaan atas nama ‘perpaduan dan kestabilan politik’ sekaligus seolah-olah bermakna UMNO tidak berhasrat lagi menjadi peneraju memerintah negara. 

Jadi ahli-ahli UMNO patut bangga kerana ada seorang Presiden yang bijak dalam bab ‘taktikal politik’ hingga mereka sendiri tidak dapat ‘menghidu’ atau membacanya. Memanglah susah duga sebab mana ahli UMNO nak sangka akan berada dalam kerajaan walaupun hanya menang 30 kerusi, hanya ada dua negeri diperintah UMNO dan tidak ada ahli Parlimen di empat negeri.

Tambahan pula, DAP dan PKR beri penghormatan UMNO jadi MB di Perak dan Pahang selepas tak cukup kerusi untuk tubuh kerajaan bersendirian. Di Melaka pula, ahli UMNO perlu berasa gembira ADUN PKR dan DAP diberi kedudukan sebagai exco.

Apa yang dinyatakan membuktikan betapa akrabnya hubungan pemimpin dan ahli UMNO dengan PKR dan DAP. Oleh itu sudah tentulah mereka bangga menyambut kehadiran tetamu daripada kedua-dua parti berkenaan ke Dewan Merdeka yang pada 14 September 2019 ‘dibanjiri’ titisan air mata ahli UMNO-Pas di Himpunan Perpaduan UMMAH selepas termeterainya Muafakat Nasional.

Lagipun Ahmad Maslan pun sudah nasihatkan ahli-ahli UMNO terima kehadiran Anwar ke Dewan Merdeka dengan hati terbuka. Kedatangan tetamu-tetamu itu harus disambut dengan meriah dan penuh kebanggaan.

Tetamu-tetamu ini pastinya jauh ‘lebih berjasa’ daripada pemimpin UMNO yang digantung atau dipecat. Sebabnya tanpa persetujuan mereka tidak mungkin UMNO masih gah berada dalam kerajaan walaupun kalah dua kali berturut-turut dalam PRU.

Tetamu daripada PKR dan DAP pasti beruntung berbanding pemimpin UMNO tersebut tidak boleh masuk Dewan Merdeka sebaliknya perbetulkan sampin untuk melawat gerai-gerai seperti mana ‘seloroh’ Zahid dan Setiausaha Agung UMNO Asyraf Wajdi Dusuki.

Kehadiran tetamu dari PKR,DAP,AMANAH itu juga penting untuk menunjukkan solidariti parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu,Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang walaupun UMNO tidak akan jadi peneraju.

Tetapi tidak mengapa, sebab UMNO kan sahabat yang setia dan akur dengan keputusan pucuk pimpinan biarpun sepatutnya UMNO jadi peneraju bukan sekadar menempel/menumpang. Tak apalah kalau UMNO sekadar menang dua tiga kerusi di negeri-negeri itu. Apa yang penting kalau PH menang, wakil rakyat UMNO dapat jadi exco.

Melalui kedudukan itu bolehlah pemimpin UMNO terutamanya Ahmad Zahid akan terus dapat mencanangkan soal perpaduan, kestabilan politik dan mempertahankan masyarakat majmuk. 

Kesimpulannya, Perhimpunan Agung UMNO di dewan bersejarah, memang bersejarah dan akan dikenang dalam sejarah, bagaimana dalam politik tiada yang mustahil dan segala kemungkinan boleh berlaku.

Sama ada peristiwa bersejarah itu diterima oleh ahli UMNO di peringkat akar umbi atau tidak, adakah sejarah akan mencatatkan UMNO bangkit semula atau menempah  lot ‘di pusara’, sama-sama kita tunggu PRN nanti. Biarpun tanda-tanda apa akan berlaku kepada UMNO sudah ada.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *