SEORANG anggota polis berpangkat lans koperal yang videonya tular kerana meminta wang RM200 daripada seorang wanita tempatan berikutan rakannya warga China gagal menunjukkan pasport, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Mohamad Ikhwan Mahat, 32, mengaku tidak bersalah selepas didakwa telah menyebabkan ketakutan dengan niat untuk melakukan pemerasan terhadap Lee Log Ling, 26, dengan meminta wang RM200 sekiranya mahu dilepaskan kerana kegagalan rakan wanita itu yang merupakan warganegara China untuk membawa pasport semasa diperiksa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen, Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 11 malam, 23 Mac lalu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Purshotaman Puvanendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak yang masih kecil dan memberikan kerjasama kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.
Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes.
Pada 3 April lalu, media melaporkan sebuah video berdurasi satu minit 48 saat tular menerusi aplikasi TikTok memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatarbelakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman, berkata siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.
Leave a Reply