SUATU ketika dahulu, Pak Awang merupakan seorang juruselam pukat tangkul yang terkenal di kampung Pantai Seberang Marang, Terenganu.
Dia mempunyai seorang isteri dan enam orang anak, tinggal di sebuah rumah usang beratap zink dan berdinding papan.
Selepas 40 tahun berlalu, kehidupan Pak Awang yang memiliki kepakaran menyelam antara 15 hingga 20 minit tanpa dilengkapi sebarang peralatan termasuk bantuan oksigen, masih seperti dahulu dan tidak banyak berubah.
Dalam menempuh usia tuanya, Pak Awang kini sudah memasuki usia 80an, tetapi masih menjadi nelayan, cuma bukan lagi sebagai juruselam, sebaliknya dia hanya ‘awak-awak’ kepada juragan pukat jerut yang tinggal di kampung tersebut.
Pak Awang terpaksa ke laut demi mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup menyara keluarga. Manakala isterinya pula membuat pelbagai jenis kuih muih untuk dijual di kedai-kedai di kampung tersebut.
Walaupun enam anaknya kini sudah dewasa dan ada antaranya sudah berumahtangga, namun kesemuanya tidak dapat membantu Pak Awang kerana mereka juga bekerja sebagai nelayan dan memperoleh pendapatan tidak menentu. Ini kerana, pendapatan sebagai nelayan hanya ‘kais pagi makan pagi, kain petang makan petang’.
Golongan ini bukan sahaja tidak mempunyai pendapatan tetap, tetapi juga tidak berpencen, tiada wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga Perkeso. Ada hari-hari tertentu mereka ke laut, namun hanya pulang dengan tangan kosong tanpa memperoleh sebarang pendapatan.
Inilah gambaran sebenar yang penulis sempat rakamkan mengenai nasib dan kesengsaraan hidup golongan nelayan di Terengganu sejak dari dahulu hingga sekarang.
Kini situasi tersebut terus dialami golongan berkenaan ketika berhadapan pula dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Bagi kebanyakan nelayan, kenaikan kesemua harga barangan termasuk barangan keperluan harian dianggap umpama gelombang di tengah lautan yang sedang membedal bot-bot nelayan.
Berdasarkan itulah, ramai juga golongan nelayan terpaksa menjual bot dan pukat masing-masing dengan mencari pekerjaan lain. Begitulah antara rentetan hidup sebahagian besar masyarakat nelayan di Terengganu yang sehingga ini kehidupan mereka dikatakan masih tidak berubah. Mereka dikategorikan sebagai B40 dan berada di bawah paras kemiskinan.
Bagaimanapun terdapat segelintir daripadanya mampu mengubah kehidupan sebaik sahaja bertukar bidang dengan menjadi daganan (pembekal dan peraih ikan), pengusaha bot pelancong, penternak ikan, peniaga keropok, peniaga runcit, pembekal kuih muih serta menceburi aktiviti menangkap ikan di laut dalam.
Persoalannya kenapakah golongan berkenaan masih berada di bawah garis kemiskinan sedangkan pasaran ikan mempunyai permintaan sangat tinggi dan harganya pula sangat mahal? Sebagai contoh ikan selayang suatu ketika dahulu harganya cuma RM2.50 sekilogram kini dijual dengan harga RM12 sekilogram, ikan kembong dahulu RM4 sekilogram kini RM15 dan ikan Selar dahulu RM5 kini RM18 sekilogram.
Kenapakah perkara ini masih berlaku? Apa yang tidak kena? Adakah ia berpunca daripada orang tengah atau masalah berkaitan sistem pengurusan? Kalau dilihat kepada produk berasaskan ikan selain permintaan pasarannya begitu meluas, seharusnya nelayan kini sudah mampu melalui kehidupan mewah.
Perkara ini perlu diberikan perhatian serta kajian secara serius kerana amat malang produk yang mempunyai pasaran tinggi tetapi mereka yang terlibat masih berada di bawah paras kemiskinan.
Leave a Reply