ANALISIS
oleh MOHD LAZIM ENDUT
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu kini semakin mendapat perhatian oleh msyarakat di negeri ini khususnya bagi mereka yang masih ‘fresh’ dalam dunia politik.
Sejak diperkenalkan di negeri ini enam tahun lalu (2017), Bersatu Terengganu dikatakan semakin menarik perhatian rakyat.
Bermula dengan keahlian awal hanya 800 orang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kini Bersatu Terengganu sudah memilikili jumlah keahlian amat mengujakan. Mereka adalah terdiri daripada pelbagai golongan termasuk berpengalaman dalam bidang politik, bekas Ahli Parlimen, bekas ADUN, bekas calon, golongan profesional, ahli agama, peguam dan juga orang muda.
Antara pemimpin berpengalaman berada dalam kepimpinan Bersatu Terengganu sekarang ialah Datuk Rosol Wahid, Datuk Razali Idris, Datuk Rosli Mat Hassan, Datuk Yusop Majid, Datuk Zulkifli Mohamad, Ustaz Khazan Che Mat dan Zaidi Muda.
Justeru, melihat kepada perkembangan ini tidak mustahil mana-mana calon Bersatu yang bakal mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti mampu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi.
Hal ini kerana, gandingan kerjasama antara Bersatu dan Pas di bawah satu bumbung kelihatan semakin kuat dan utuh di negeri ini.
Malah, apa yang menggerunkan pihak lawan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) apabila aura ‘gelombang hijau’ kian beralun dengan kencang. Banyak pihak termasuk penganalisis dan pemerhati politik di negeri ini bercakap mengenai perkara itu. ‘Gelombang Hijau’ dikatakan mampu menenggelamkan impian PH-BN untuk merampas kembali pemerintahan di Terengganu.
Namun, pelbagai isu yang memungkinkan kekalahan besar gabungan tersebut kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pemerintahan kerajaan perpaduan dinaungi PH dan BN yang turut terkait dengan DAP.
Bercakap mengenai siapakah calon-calon yang bakal terpilih mewakili Bersatu Terengganu pada PRN nanti, penulis percaya nama-nama berpengaruh seperti Rosli, Mohd Yusop,Razali, Khazan dan Zulkifli bolehlah diangkat sebagai calon.
Sebelum ini Razali pernah mencadangkan kepada pucuk pimpinan PN agar parti itu diberi peluang bertanding di 10 kerusi dimenangi BN pada PRU14.
Kerusi tersebut ialah Seberang Takir, Kijal, Telemong, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri. Bagaimanapun sehingga ini perbincangan masih diadakan dan kata putus mengenai jumlah kerusi dan juga kawasan DUN belum dimuktamadkan.
Maka itu, banyak pihak mengharapkan agar nama-nama pemimpin berpengalaman Bersatu terutama mereka yang pernah menjadi pemimpin politik, bekas calon, bekas Ahli Parlimen dan bekas ADUN perlu diberi peluang.
Malah, sebagai Pengerusi Bersatu Terengganu yang juga Ketua Penerangan, Razali perlu diberi peluang bertanding sama ada di DUN Telemong atau Seberang Takir.
Ini berdasarkan Razali pernah bertanding di Parlimen Hulu Terengganu dan pernah bergerak menerajui parti di Kuala Nerus. Namun, ada pihak berpendapat kalau mahu merampas kerusi Telemong daripada BN, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol boleh dicalonkan di DUN tersebut.
Ini memandangkan Rosol yang pernah menjadi ADUN Ajil mempunyai pengaruh dan jumlah pengundi yang besar di Hulu Terengganu. Begitu juga Rosli yang sebelum ini memiliki aura sebagai Ahli Parlimen Dungun boleh dicalonkan di DUN Bukit Besi yang merupakan antara kubu kuat BN.
Selain itu, bekas calon Parlimen Setiu, Mohd Yusop boleh dicalonkan di Langkap atau Permaisuri dalam usaha merampas semula DUN berkenaan.Begitu juga dengan bekas ADUN Batu Rakit, Khazan boleh dicalonkan semula di kawasan tersebut yang pernah dimenangi pada tahun 2004 lalu.
Sebelum ini, Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pernah mengatakan bahawa PN akan menampilkan calon berwibawa, berkaliber dalam pelbagai bidang serta boleh menang pada PRN nanti.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, keputusan mengenai pemilihan calon dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap beberapa faktor.
Malah, katanya begitu juga mengenai agihan kerusi yang mengambil kira beberapa faktor termasuk melibatkan status quo, dari segi jentera mana lebih kuat di sesuatu tempat di samping calon-calon berpotensi serta berwibawa.
Maka itu, apa yang penting ujar Samsuri ialah prioriti paling utama ialah mempunyai potensi besar untuk menang.
Leave a Reply