Mengapa dihalau Rainsy pemimpin Pembangkang Kemboja – tanya Hassan

Oleh Hassan Abdul Karim

SATU waktu dahulu pada tahun 1975, sahabat-sahabatku, pemimpin pelajar Universiti Malaya terpaksa lari keluar negeri untuk selamatkan diri dari ditangkap di bawah undang-Undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka terpaksa mencari Perlindungan Politik atau suaka politik di Eropah, di negara “kafir” yang kenal erti kemanusiaan dan belas ikhsan yang menjadi antara asas makna Madani.

Kemudian selama lebih 25 tahun seorang lagi kawanku, seorang pemimpin politik Pembangkang, keluar masuk Penjara kerana memperjuangkan Keadilan dan reformasi untuk Negara Malaysia tercinta ini.Kini kawanku itu sedang menjadi Perdana Menteri Kerajaan Madani.

Kawanku itu semasa menjadi tokoh Pembangkang Negara ini, pernah diberi sokongan kuat oleh masyarakat antarabangsa yang menyokong gerakan demokrasi di Malaysia dalam usaha menentang Kerajaan ” diktator” Perdana Menteri keempat ketika itu.

Hassan Abdul Karim

Aku pernah ke Kemboja pada tahun 1980an yang baru keluar dari perang Saudara.Ketika itu Khmer Rouge baru sahaja ditewaskan.Raja Norodhum Sihanouk, Raja Kingdom Kemboja masih lagi hidup. Hun Sen baru sahaja berkuasa sebagai Perdana Menteri.

Hun Sen ini memerintah secara “diktator” melalui pilihanraya yang diatur, tidak Bersih dan tidak adil.Gerakan demokrasi bangkit, lalu segera ditumpaskan oleh Hun Sen yang kini sudah lebih tiga dekad berkuasa.

Hari ini aku berasa sedih apabila membaca berita bahawa Perdana Menteri negaraku yang katanya menjunjung Hak asasi dan demokrasi menghalau Rainsy tokoh Pembangkang Kemboja yang singgah ke negara ini. Perdana Menteri negaraku ini rupa-rupanya telah berjanji dengan Hun Sen sang penguasa Kemboja sekarang.

Aku bersetuju kalau penjenayah-penjenayah perang seperti George W.W.Bush atau Tony Blair yang memerangi dan menghancurkan Iraq Dihalau dari Malaysia.

Tetapi aku tidak setuju kalau tokoh politik Pembangkang Kemboja seperti Rainsy yang berjuang untuk perubahan Kemboja secara demokrasi dihalau sebegitu rupa dari bumi Malaysia.

Malaysia perlu ada suatu dasar luar negara yang progresif, dinamik dan aktif sesuai dengan amalan diplomasi antarabangsa yang berintegriti dan berwibawa.

  • * HASSAN Abdul Karim adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *