Lelaki dijatuhi hukuman penjara 54 tahun, 25 sebatan rogol ana sendiri

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 54 tahun dengan 25 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas tujuh kesalahan jenayah seksual, termasuk sumbang mahram terhadap anak kandungnya.

Tertuduh berusia 39 tahun turut mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, melakukan kelucahan melampau, miliki pornografi kanak-kanak dan video lucah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Tertuduh bagaimanapun perlu menjalani hukuman penjara 16 tahun apabila mahkamah membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh dituduh hari ini, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa melakukan sumbang mahram atau merogol anak kandungnya yang berusia 19 tahun di sebuah rumah dekat Sering di sini di antara jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari pada akhir Mac, 10 Mei dan 11 Mei tahun ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga minimum lapan tahun hingga 30 tahun dan 10 sebatan.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman 14 tahun penjara dan lapan sebatan, 15 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan kedua serta 16 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan ketiga.

Manakala, bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh mengaku melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan melakukan kelucahan melampau terhadap anak kandungnya.

Kesalahan itu dilakukan dua lokasi berasingan iaitu Sering dan Panji, di sini antara jam 11.05 pagi dan 4 petang pada 11 Mei lalu dan 7 Disember tahun lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (Akta 574) dan 377D.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan keempat dan penjara satu tahun bagi pertuduhan kelima.

Sementara itu, bagi pertuduhan keenam dan ketujuh, tertuduh didakwa memiliki pornografi kanak-kanak dan memiliki video lucah dalam telefon bimbit.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama iaitu Sering, di sini, pada 19 Mei lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Bagi kesalahan berkenaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan keenam dan penjara satu tahun bagi pertuduhan ketujuh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan hubungan tertuduh dengan mangsa adalah bapa kandung dan anak.

“Sebagai seorang bapa, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung dan tidak melakukan perbuatan terkutuk terhadap anaknya.

“Perbuatan yang dilakukan tertuduh meninggalkan kesan trauma seumur hidup kepada mangsa,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya pula memohon hukuman ringan dikenakan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan sebanyak 54 tahun dan 25 sebatan, namun hukuman berjalan serentak iaitu 16 tahun dari tarikh dituduh dan 25 sebatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *