Dr.Mahathir sedia bekerjasama dengan Muhyiddin

TUN Dr Mahathir Mohamad sedia bekerjasama dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin jika kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Kenyataan terbaru bekas Perdana Menteri itu membayangkan kedua-dua tokoh berkenaan boleh kembali duduk semeja selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dr. Mahathir berkata, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.

Katanya, orang Melayu yang berpecah mengikut perjuangan parti politik berbeza mengakibatkan kaum majoriti ini semakin lemah dan sukar untuk memperbetulkan keadaan.

“Kita nak adakan kerjasama, tetapi matlamat mesti ditentukan. Kita berpecah jadi banyak-banyak parti, kita hilang kuasa. Bila hilang kuasa, kita tidak boleh betulkan keadaan yang merugikan orang Melayu. Sebab itu kita perlu bersatu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama portal MalaysiaNow.

Muhyiddin Yassin

Pada 2016, Bersatu ditubuhkan selepas Muhyiddin dan beberapa pemimpin UMNO dipecat daripada parti itu selepas secara terbuka mengkritik isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penubuhan Bersatu dilakukan bersama Dr. Mahathir yang dilantik sebagai pengerusi sebelum parti itu menyertai gabungan politik PH yang akhirnya berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Dua tahun kemudian, Dr.Mahathir dipecat daripada Bersatu selepas berlaku perubahan kerajaan menerusi Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH tumbang dan digantikan dengan kerajaan PN dipimpin oleh Muhyiddin.

Dalam pada itu, Dr.Mahathir berkata, sukar untuk dirinya bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mempunyai perjuangan yang berbeza.

Menurut Dr. Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi, Anwar dilihat sebagai individu yang tidak begitu serius dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Bahkan berkenaan dengan agama pun, nampak pandangan dia bukan pandangan yang diterima orang Melayu. Sebab itu saya tidak boleh kerjasama dengan dia.

“Saya sedia bekerjasama dengan orang yang faham dengan orang yang faham dengan masalah besar dihadapi orang Melayu,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Dr.Mahathir berkata, orang Melayu kini juga sudah tidak menyokong UMNO kerana tidak lagi yakin dengan perjuangan parti itu dalam membela nasib golongan kaum majoriti di negara ini.

Katanya, kemerosotan undi kepada UMNO yang hanya mampu meraih 26 kerusi Parlimen pada PRU15 adalah bukti utama parti itu tidak lagi menjadi pilihan utama pengundi kaum tersebut.

“Sebab itu kita perlu bersatu. Tetapi siapa yang pro-Bersatu? Bukanlah orang yang terlibat dengan rasuah, orang yang dikenakan hukuman penjara dan sebagainya.

“Mereka (pengundi Melayu) sedang fikirkan tentang masalah yang dihadapi orang Melayu.

“Mereka nak cari satu kumpulan yang boleh ambil berat terhadap masalah orang Melayu dan membuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini,” tambah beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *