Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang wanita untuk satu urusan hartanah di Langkawi pada 2016.
Tertuduh, Mohd Fadhilah Hanafi, 70, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.
Dalam pertuduhan dihadapinya, Mohd. Fadhilah yang pernah bertugas di sebuah pejabat daerah dan tanah di Kedah, didakwa memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa dirinya adalah pemilik satu hartanah di Lot 934, Kampung Sungai Menghulu di Langkawi sedangkan hartanah tersebut adalah milik kerajaan.
Dia lalu didakwa dengan curangnya mendorong mangsa iaitu seorang wanita yang kini berusia 67 tahun, untuk memindahkan wang berjumlah RM15,000 melalui dua keping cek tunai Public Islamic Bank atas nama anaknya yang mana mangsa tidak akan melakukan tindakan sedemikian jika tidak diperdayakan.
Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam, Chui Jing Hong.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebat dan dikenakan denda.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan anaknya sebagai penjamin. Tertuduh dalam masa sama tidak tidak dibenarkan mendekati serta mengganggu saksi pendakwaan dengan dia turut perlu melapor diri di Pejabat SPRM pada setiap awal bulan.
Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 4 Julai depan.
Leave a Reply