Kes saman KJ terhadap Jamal, mahkamah tetapkan 26 Jun pengurusan kes

MAHKAMAH menetapkan 26 Jun depan bagi pengurusan kes melibatkan saman fitnah dikemukakan Khairy Jamaluddin, terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu sebelum ini menyaman Jamal ekoran sidang media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berhubung tuduhan isu pengundi hantu, menurut laporan Berita Harian.

Sidang media pada Januari lalu itu berhubung dakwaan UMNO mengimport perwakilan yang bukan perwakilan untuk mengundi usul supaya jawatan nombor satu dan nombor dua tidak dipertandingkan.

Tarikh berkenaan diputuskan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nik Nur Amalina Mat Zaidan, ketika pengurusan kes itu menerusi e-review, pagi ini.

Peguam bela Khairy, Shakeel Saifuzzaman, ketika memaklumkan pengurusan kes hari ini hanya mengenai status serahan saman.

“Pengurusan kes seterusnya untuk menyempurnakan serahan saman,” katanya.

Khairy memfailkan writ saman pada 24 Mei lalu melalui firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel dan menuntut ganti rugi khas RM1 juta, ganti rugi am, perintah supaya Jamal menerbitkan permohonan maaf di akaun Facebook dan TikTok serta dalam akhbar utama bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khairy berkata, pada PAU 2022 yang diadakan 14 Januari lalu, Jamal mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dihadiri pengamal media, perwakilan UMNO dan beberapa ahli serta pemimpin UMNO.

Pada hari sama, Khairy berkata, Jamal melalui akaun Facebook di bawah nama ‘DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)’ memuat naik rakaman video sidang video itu bertajuk ‘Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya’.

Katanya, Jamal juga memuat naik rakaman sama melalui akaun media sosial TikTok di bawah nama pengguna ‘jamal_yunos’.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud beliau pemimpin yang tiada integriti, tiada kredibiliti memimpin dan terbabit atau melakukan jenayah rasuah.

Katanya, ia turut membawa maksud beliau melaksanakan dan menerapkan pendekatan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi dan tidak layak menjadi seorang pemimpin serta tidak setia kepada parti serta pemimpin parti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *