Oleh RIZQI ZABIDI
MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap seorang sarjan polis setelah tertuduh mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah RM1,500, tiga tahun lalu.
Hakim, Rohatul Akmar Abdullah turut memerintahkan agar tertuduh, Muhamad Fitry Ismail, 32, dipenjara untuk tempoh tiga bulan jika gagal membayar denda ditetapkan itu.
Bersandarkan kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 18 November 2020, kira-kira pukul 11.34 malam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Kedah.
Wang itu didakwa diterima untuk dirinya sendiri dengan tiada balasan yang mana tertuduh mengetahui bahawa pemberian tersebut, adalah sebagai satu dorongan berhubung dengan kerja-kerja rasminya.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.
Dalam penghakimannya, Rohatul Akmar berkata, mahkamah telah mempertimbangkan kepentingan awam dan tertuduh sendiri sebelum membuat keputusan tersebut.
Tertuduh kemudiannya difahamkan membayar denda tersebut.
Leave a Reply