Bicara kes komunikasi jelik Lokman Adam bermula September

PERBICARAAN kes Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan akan bermula September ini, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan menetapkan tarikh 5, 6, 7, 11 dan 18 Sept serta 9,10,11, 23 dan 24 Okt sebagai  tarikh perbicaraan selepas mendengar permohonan daripada Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh pada sebutan kes tersebut hari ini.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes dan pihak kami dimaklumkan representasi difailkan pihak pembelaan Lokman masih di Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Pada tarikh sebutan seterusnya, pihak kami akan menyerahkan sekali penyataan saksi,” katanya dengan turut memaklumkan pihaknya akan memanggil 10 saksi pendakwaan untuk perbicaraan tersebut.

Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman tidak membantah tarikh perbicaraan tersebut.

Priscilla kemudian menetapkan 1 Ogos ini bagi mengetahui perkembangan status representasi yang difailkan pembelaan. 

Pada 1 Sept tahun lalu, Lokman, 50, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mengikut pertuduhan pertama membabitkan bekas Perdana Menteri, Lokman didakwa melakukan perbuatan itu pukul 11.16 malam pada 20 Ogos 2022 yang kemudiannya hantaran itu dibaca pada 8.15 pagi,  24 Ogos tahun sama di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kedua pula, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pukul 10.28 malam, 22 Ogos tahun sama dan pautan itu kemudian dibaca pukul 11.30 pagi pada 23 Ogos di sebuah restoran di Jalan Sentul di Kuala Lumpur.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *