Pukat tarik dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan Terengganu

USAHA Kerajaan Terengganu menjadikan pukat tarik sebagai acara tahunan yang bakal dimuatkan dalam kalendar tahunan pelancongan negeri disifatkan sebagai satu tindakan tepat.

Hal ini kerana, selain dapat memperkenalkan semula warisan tradisi yang semakin pupus itu, aktiviti pukat tarik juga dijangka mampu diketengahkan sebagai produk pelancongan popular di negeri ini.

Malah, jika pendekatannya dilakukan secara kreatif, tidak mustahil tradisi nenek moyang ini boleh menyaingi populariti acara sepertimana di Jepun.

Seorang kawan penulis yang merupakan juragan bot mencandat sotong, Omar Ismail menyifatkan tindakan tersebut sebagai tepat pada masanya.

Beliau percaya sekiranya diberikan perhatian, pukat tarik bakal popular sepertimana juga aktiviti mencandat sotong.

“Siapa sangka mencandat sotong yang dahulunya hanya tertumpu dalam golongan nelayan sahaja, kini sudah dapat menarik perhatian ramai termasuk penjawat awam dan golongan wanita.

“Apa yang kita harapkan, begitu juga dengan pukat tarik, kalau kena dengan caranya tidak mustahil orang luar akan berpusu-pusu ke daerah Marang untuk merasai sendiri pengalaman menarik pukat,” ujarnya.

Pada 24 April lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dipetik sebagai berkata, tradisi pukat tarik yang popular sejak lebih 30 tahun lalu akan menjadi acara tahunan dan akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri.

Justeru Samsuri berkata, kerajaan negeri akan melihat kesesuaian lokasi yang akan diadakan nanti kerana Terengganu mempunyai jajaran pantai yang panjang dari Kemaman hingga ke Besut.

Beliau berkata demikian ketika menjayakan Program Tarik Pukat Raya 2023 yang diadakan di pesisir Pantai Pulau Kekabu, Marang.

Menurut Samsuri, aktiviti seperti ini dilihat dapat mengeratkan lagi ikatan sesama penduduk selain mengetengahkan salah satu tradisi menangkap ikan yang pernah dilakukan oleh nelayan negeri ini.

Pada program tersebut seramai 300 hingga 400 pengunjung mengambil kesempatan untuk turut merasai pengalaman unik bagaimana cara-cara menarik pukat di mana ia sangat mengujakan mereka yang terbabit.

Menerusi kolum ini yang disiarkan pada 21 Disember 2021, penulis pernah mencadangkan agar pukat tarik wajar diketengahkan sebagai produk pelancongan Terengganu.

Sebagai seorang anak nelayan yang pernah tinggal di pesisir pantai di Marang, apa jua aktiviti memukat sememamgnya cukup sinonim bagi penulis.

Malah, pukat tarik yang merupakan sejenis pukat (jaring) yang diperbuat daripada nylon pada suatu ketika dahulu begitu popular dalam kalangan masyarakat nelayan pesisir pantai sekitar tahun 1960an dan 1970an dahulu.

Ketika itu peralatan pukat yang turut popular ialah pukat bilis, udang baring (geragau) dan tangkul.

Memandangkan sektor pelancongan Terengganu semakin berkembang penulis percaya mana-mana produk tradisi yang semakin pupus mampu menjadi tarikan ramai sekiranya ia diketengahkan.

Maka itu, selain aktiviti pukat tarik, produk lain yang perlu diketengahkan secara seiring ialah kuih muih tradisional Terengganu dan juga kerja-kerja anyaman daripada buluh dan mengkuang.

Ia penting kerana kita tidak mahu suatu hari nanti generasi akan datang tidak lagi mengenali produk warisan peninggalan nenek moyang kita dahulu hanya tinggal nostalgia silam.

Justeru, usaha berterusan bagi mengentengahkan warisan ini perlu diteruskan melalui program-program khusus di peringkat negeri dan juga daerah seperti Pesta Pantai dan Pekan Budaya.

Aktiviti pukat tarik contohnya, selain demontrasi ia perlu diadakan pameran berkaitan termasuk sejarah.

Ini kerana, bagi penulis aktiviti pukat tarik bukan sahaja unik, namun ia sangat menarik disamping boleh mewujudkan perpaduan dalam keluarga dan anggota masyarakat setempat.

Ketika itu, aktiviti ini dijayakan oleh penduduk setempat melibatkan keluarga nelayan sama ada lelaki, wanita dan juga anak-anak termasuk jiran tetangga.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *