TIMBALAN Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, bahawa, selepas memanggil penceramah dari India, Dr. Zakir Naik sebagai ‘syaitan’, beliau tidak membuat permohonan memohon maaf kepada pendakwah itu.
Ramasamy berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Zakir, Datuk Akberdin Abdul Kader dalam prosiding kes fitnah di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Sebaliknya, pemimpin DAP itu berkata, permohonan maaf dibuat kepada orang awam selepas berasakan perkataan yang digunakan terhadap pendakwah itu tidak sesuai.
“Tidak kerana saya tahu perkataan itu tidak sesuai untuknya, jadi saya mohon maaf kepada awam kerana menggunakan perkataan itu,” katanya ketika disoal bahawa dia sepatutnya berbuat demikian selepas melakukan kesalahan terhadap Zakir, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, pengakuan berkenaan dibuat kerana perkataan itu (syaitan) adalah tidak sesuai, maka ia dipadam.
Akberdin: Maka kamu tidak bersetuju apa kamu cakap ini tidak masuk akal?
Ramasamy: Saya tidak setuju.
Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.
Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya ‘syaitan’ dalam laman Facebook.
Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap berkata, Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi apa didakwanya sebagai pelarian dari India.
Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy memanipulasi ucapan dibuatnya pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan, diterbitkan portal berita, pada hari sama.
Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.
Saman kedua Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019.
Leave a Reply