Pengasas tahfiz warga Singapura berdepan tiga pertuduhan baru

PENGASAS pusat tahfiz warga Singapura kini berdepan 11 pertuduhan jenayah seksual terhadap pelajarnya selepas tiga tuduhan baharu dikenakan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, didakwa melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelajar lelaki pada 2018 dan 2019.

Terdahulu, dia didakwa atas lima dan tiga pertuduhan masing-masing di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dan Alor Gajah.

Menurut Harian Metro, bapa kepada enam cahaya mata itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal secara luar tabii terhadap remaja lelaki berusia 15 tahun ketika kejadian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Klebang 8, di Melaka, pada 13 dan 28 Julai 2018, antara 11 malam hingga 12 tengah malam dan 2 pagi hingga 6 pagi.

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan amang seksual fizikal secara luar tabii terhadap remaja berusia 16 tahun ketika kejadian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Madrasah Al-Islah, Tanjung Minyak pada 18 Januari 2019, kira-kira 9 pagi.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, tertuduh yang beristeri dua itu gagal mendapatkan jaminan melalui peguamnya, Fahmy Sulaiman selepas dibantah Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin atas pelbagai alasan termasuk kebimbangan tertuduh melarikan diri memandangkan dia warga Singapura serta keseriusan kesalahan itu.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan sebutan kes ditetapkan pada 19 Jun.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *