Jurukimpal dipenjara 6 bulan buat hantaran jelik terhadap Sultan Perak

SEORANG jurukimpal dikenakan hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerusi media sosial, hujung tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Mohd. Masri Md. Darus, 26, didakwa telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lain yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Disember 2022 sekitar pukul 8.21 pagi menerusi satu akaun di aplikasi Twitter milik tertuduh.

Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 3 Januari 2023 sekitar pukul 5 petang.

Mohd Masri Md Darus,26, didakwa memulakan hantaran bersifat jelik terhadap Sultan Perak melalui media sosial ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan itu mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

Sabit kesalahan membawa hukuman didenda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu memohon hukuman ringan memandangkan sedang menjaga ibu yang uzur selain kerja yang tidak menentu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon agar hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh terutamanya masyarakat di luar sana untuk lebih berhati-hati ketika memuat naik sebarang hantaran.

Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Priscilla kemudian menjatuhkan hukuman penjara itu ke atas tertuduh bermula hari ini, lapor Utusan TV.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *