Pegawai Maritim Malaysia hilang ketika daki Telaga Tujuh di Langkawi 

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilaporkan hilang setelah mendakit Telaga Tujuh di Gunung Matchincang, Langkawi semalam. 

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pegawai tersebut  Mohd. Ridhaudden Rosman, 32, memuat naik status tiba di puncak Telaga Tujuh kira-kira pukul 4.45 petang semalam. 

Selain itu katanya, mangsa turut berkomunikasi dengan isterinya kira-kira setengah jam selepas itu. 

“Pihak kami menerima laporan mengenai kehilangan pegawai itu kira-kira pukul 12.47 pagi ini. Difahamkan pegawai itu bertugas di Bahagian Cari Lamat dan Bantuan Bencana (SAR) Maritim Malaysia Putrajaya dan berada di Langkawi sempena LIMA’23. 

“Motosikal digunakan mangsa ditemukan berada di tempat meletak kereta Telaga Tujuh. Sebaik menerima laporan, pencarian awal terus dimulakan bermula seawal 2 pagi tadi,” katanya. 

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat disertai oleh pihak polis, bomba, Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terdiri daripada 23 pegawai dan 68 anggota. 

“Selain itu operasi tersebut turut disertai 15 orang awam yang mahir dengan laluan di situ. Misi mencari dan menyelamat  turut melibatkan kekuatan aset darat dan udara.  Mangsa difahamkan bergerak sendiri ke lokasi berkenaan dan bukan mendaki kawasan itu untuk melaksanakan tugas,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *