Tipu jual lot tanah, lelaki mengaku tak salah

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan berasingan menipu enam individu berkaitan pembelian lot tanah tidak wujud di daerah itu dan Jasin membabitkan kerugian RM60,661, antara Mei 2022 hingga 30 Mac lalu.

Harian Metro melaporkan, tertuduh yang juga penyelia syarikat konsesi pembersihan, S Sevasangar, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Berdasarkan semua pertuduhan, dia didakwa memperdaya enam lelaki berusia 36 hingga 53 tahun berkaitan pembelian lot tanah tidak wujud hingga mendorong semua mangsa membayar kepadanya secara berperingkat dan tunai berjumlah RM60,661.

Mangsa, Abdul Halim Chong Abdullah, 40; V Muniandi, 36; Muhammad Azizol Jaapar, 45; Mazlan Abd Ghani, 53; Hairul Nizar Md Tan, 45 dan Kamarulzaman Abdul Rashid, 42, masing-masing mengalami kerugian antara RM2,051 hingga RM33,000.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh berasingan antara Mei 2022 hingga 30 Mac lalu, di Taman Pengkalan Indah dan di sebuah kedai RM2 di Alor Gajah.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM57,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana dia menghidap sakit jantung selain perlu menyara isteri tidak bekerja dan tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun.

Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin membenarkan jaminan RM28,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan kes untuk sebutan pada 23 Jun depan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *