Joki kereta didakwa rogol remaja perempuan dalam kereta

SEORANG pekerja joki kereta didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, kerana merogol remaja perempuan berusia 18 tahun dalam kereta, 13 Mei lalu.

Bagaimanapun, B. Satia, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

Satia dituduh merogol remaja berkenaan dalam kereta Honda City kelabu di kawasan pusat hiburan, Jalan Tun Razak, Taman Maluri, di Kuala Lumpur, pada pukul 5.20 pagi, 13 Mei lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Berikutan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Roslizi Sulaiman, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa.

“Berdasarkan keterangan, kejadian rogol adalah secara paksa serta tertuduh dan mangsa tiada apa-apa hubungan,” katanya, lapor BH Online.

Bagaimanapun, peguam bela Satia, Julie Faralisa Abd Jais, memohon jaminan rendah atas alasan anak guam perlu menanggung ibu serta adik yang masih bersekolah.

“Tertuduh yang juga anak kedua tidak bersalah hingga didapati bersalah. Ibunya sedia menjadi penjamin dan anak guam akan menerima syarat tambahan dikenakan,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan di balai polis setiap bulan serta tertuduh tidak boleh mendekati mangsa atau jaminan akan dibatalkan.

Sebutan kes semula ditetapkan 21 Jun ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *