MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan terhadap duda anak tiga atas kesalahan mengugut ibu kandungnya dengan pisau untuk mendapatkan wang, tahun lalu.
Hukuman diputuskan Majistret Mazana Sinin selepas menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh Wira Md. Aris, 41, dan hujah pendakwaan bagi pemberatan hukuman.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Ara Sembok, 66, dengan maksud hendak menakutkan dengan menggunakan pisau dalam keadaan muka bengis dan marah sambil meminta wang.
Kesalahan itu dilakukan di ruang dapur sebuah rumah di Bertam Malim pada 22 September 2022, kira-kira pukul 5 petang.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan itu.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu hukuman ringan kerana anak guamnya menyesali perbuatannya selain perlu menyara tiga anak dengan pendapatan RM800 sebulan sebagai nelayan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan bermula dari tarikh tangkapan pada 18 Mei lalu, lapor Harian Metro.
Leave a Reply