Mahkamah benar Crackhouse Comedy Club cabar pembatalan lesen, senarai hitam

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club meneruskan cabaran mereka untuk mempersoalkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen operasi kelab komedi tersebut.

Menurut laporan FMT, pada prosiding mahkamah hari ini, Hakim Amarjeet Singh memberikan kebenaran kepada Rizal van Geyzel dan Shankar R Santhiram untuk memulakan semakan kehakiman terhadap DBKL.

Rizal dan Shankar mahu mahkamah membatalkan keputusan DBKL, yang dibuat pada 30 Julai tahun lepas, untuk membatalkan lesen mereka, serta mengetepikan keputusan yang menyenarai hitam nama mereka daripada mendaftarkan mana-mana perniagaan di bandar ini.

Mereka mendakwa keputusan itu tidak rasional dan menjejaskan mata pencarian mereka. Kedua-duanya juga memohon deklarasi bahawa keputusan itu bercanggah dengan Perlembagaan.

Pemilik-pemilik kelab komedi itu diwakili Sangeet Kaur Deo dan Harshaan Zamani selaku peguam.

Penyenaraian hitam itu berikutan penggantungan lesen kelab komedi itu oleh DBKL pada Julai tahun lepas, susulan klip video tular yang menunjukkan seorang wanita menanggalkan baju kurung yang dipakainya, mendedahkan pakaian di dalamnya, semasa membuat persembahan komedi di kelab itu.

Wanita itu, Siti Nuramira Abdullah, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lepas selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata dengan niat sengaja menyinggung perasaan orang lain.

Rizal turut ditahan apabila beberapa video lama menayangkan persembahan komedi berkontroversi timbul semula.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan memuat naik video di platform media sosialnya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *