EMPAT lelaki termasuk seorang remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, atas tuduhan merusuh ketika perlawanan Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak, Ipoh Sabtu lalu.
Tertuduh iaitu Muhammad Aiman Firdaus Badrul Hisam, 21; Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 25; Muhammad Hayyan Sufi Mohd Sabri, 19; dan remaja berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, S. Punitha.
Muhammad Aiman, Mohamad Amirul, dan Muhammad Hayyan masing-masing didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda manakala mahkamah menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes remaja bawah umur berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama melakukan kesalahan merusuh pada 9.17 malam, 20 Mei lalu di Stadium Perak, Jalan Kompleks Sukan Ipoh, Ipoh.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.
Sementata menunggu tarikh sebutan semula kes bagi remaja itu, mahkamah menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin yang ditetapkan hanya kepada sama ada ibu bapa atau penjaga remaja itu.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan ke atas keempat-empat tertuduh dengan mengambil kira kes berkenaan membabitkan kepentingan awam yang mana kejadian merusuh itu bertentangan dengan norma masyarakat di negara ini selain berlaku di tempat awam.
“Mohon mahkamah ambil kira bahawa hukuman yang berat bukan sekadar dapat memberi pengajaran kepada buat tertuduh malah turut memberi kesedaran kepada orang awam lain agar tidak melakukan kesalahan sama terutama di tempat awam,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply