Oleh RIZQI ZABIDI
TIGA lelaki warganegara Thailand tidak dapat menahan sebak sebaik didekati dan dipeluk keluarga masing-masing di luar Mahkamah Sesyen di Alor Setar, setelah setiap mereka didenda RM27,000, RM30,000 dan RM28,000 atas pertuduhan mengisi minyak diesel melebihi kuantiti dibenarkan, untuk dibawa keluar dari negara ini, bulan lalu.
Hakim, Jean Sharmila Jesudason menjatuhkan hukuman itu terhadap ketiga-tiga tertuduh, Sakda Thaenkeson, 24; Kittisak Thongluean, 36, dan Phanuphong Yava, 23 sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Siam.
Hakim turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara antara tujuh hingga lapan bulan jika mereka gagal membayar denda ditetapkan itu.
Selain itu, semua kenderaan yang terlibat dalam kes itu turut diarahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Sakda didakwa mengisi sejumlah 53 liter diesel ke dalam tangki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux manakala tertuduh kedua, Kittisak didakwa mengisi sebanyak 72 liter dalam kenderaan jenis Isuzu Dmax.
Tertuduh ketiga, Phanuphong pula didakwa mengisi diesel berjumlah 61 liter ke dalam kenderaan jenis Chevrolet Colorado.
Kesemua mereka didakwa berbuat demikian dengan tujuan membawa keluar minyak diesel itu dari Malaysia.
Jumlah minyak diesel yang diisi dalam ketiga-tiga kenderaan tersebut melebihi kuantiti dibenarkan iaitu 20 liter.
Tertuduh pertama dan ketiga didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11 pagi, 11 April lalu manakala tertuduh kedua didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 April 2023, kira-kira pukul 11.50 pagi.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohamad Hezrin Abdul Wahab dan Muhamad Saiful Saaidin mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011.
Hanya tertuduh kedua saja diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli manakala tertuduh pertama dan ketiga tidak diwakili peguam.
Leave a Reply