Bekas ahli Bersatu, isteri gagal dapat semula hak barangan, kereta mewah

SEORANG bekas ahli Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan isteri gagal mendapatkan semula hak ke atas kenderaan mewah dan barangan yang dirampas pihak berkuasa semasa serbuan dadah, pada 2021.

Adam Asmuni dan Lyiana Roslee ditahan polis pada 20 Januari 2021.

Ketika serbuan di rumah banglo pasangan tersebut di Ampang, polis menemui pokok ganja dan botol berisi cecair ganja.

Barangan lain dirampas termasuk wang tunai, kereta, motosikal, jam tangan mewah, beg tangan, komputer riba, gelang, rantai leher, serta akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Pasangan tersebut kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam ganja secara haram.

Polis juga mengemukakan permohonan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur mengikut Seksyen 32(2) Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988, untuk menyita barangan yang dirampas daripada mereka.

Adam dan Lyiana mengemukakan tuntutan pihak ketiga untuk mendapatkan semula hak milikan barangan mereka.

Hakim Nor Hasniah Ab. Razak, bagaimanapun, hanya membenarkan tuntutan untuk wang tunai berjumlah RM3,250 yang dirampas.

Mahkamah juga memerintahkan RM28,513.97 daripada RM81,468.51 dalam dua akaun ASNB dikembalikan kepada Lyiana. Baki RM52,954.54 dan semua barangan lain bagaimanapun disita kerajaan.

Hasniah berkata, pasangan itu gagal mengemukakan keterangan melibatkan rampasan kereta BMW X5 dan BMW 328i dibayar oleh syarikat percetakan milik mereka, Percetakan Alfa Gemilang Sdn. Bhd.

Tiada juga keterangan yang menunjukkan syarikat percetakan tersebut membuat pembayaran bulanan untuk melunaskan pinjaman pembelian kenderaan tersebut, katanya.

Mahkamah juga mendapati bahawa tiada saksi yang memberi pernyataan jam tangan mewah milik Lyiana dibeli daripada penjual sah.

Begitu juga tiada ahli keluarga memberi pernyataan mereka memberikan hadiah berbentuk barang kemas kepada Lyiana dan anak perempuannya.

Hasniah berkata, seorang akauntan bertauliah sepatutnya dipanggil memberi pernyataan sama ada Percetakan Alfa Gemilang membayar pendapatan tertangguh pasangan itu dalam akaun ASB mereka.

Pasangan tersebut merayu keputusan itu ke Mahkamah Tinggi. Peguam Rafique Rashid Ali memberitahu pengurusan kes ditetapkan pada 15 Jun.

“Perbicaraan bagi tuduhan mengedar dadah akan didengar bermula 20 hingga 23 November oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ooi Su Ghee di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya, lapor FMT.

Tahun lalu, Lyiana mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk memohon agar ketiga-tiga pertuduhan mengedar dadah itu dibatalkan. Namun, tidak berjaya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *