PELAKON Lutfya menyifatkan tuntutan mutaah RM1 juta terhadap bekas suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum merupakan nilai yang munasabah, kerana mengambil kira kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
Pemilik nama Lutfyah Sheikh Omar itu berkata, beliau mengambil tindakan itu kerana perlu merancang untuk hidup bersama anak tunggalnya.
“Tuntutan RM1 juta adalah permintaan saya sendiri, kerana saya perlu menjaga anak seorang diri, ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya selepas prosiding sebutan semula tuntutan mutaah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini.
Dia yang bergelar ibu tunggal sejak tiga tahun lalu berkata, pengorbanannya selepas berkahwin dengan melepaskan populariti sebagai pelakon, model dan penyanyi merupakan antara alasan kukuh permohonan tersebut dibuat.
“Sebenarnya, saya ambil masa untuk failkan pemohonan ini, kerana usaha untuk bangkit semula, memerlukan masa yang agak panjang.
“Saya tak pernah tuntut apa-apa daripadanya,” kata pelakon berusia 38 tahun itu, lapor Sinar Harian.
Sementara peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan yang mewakili Lutfya selaku plaintif berkata, pihaknya telah menyerahkan penyata tuntutan kepada Dr. Muhammad Hafiz yang bertindak sebagai defendan.
“Hari ini, kita terima penyata pembelaan dan jawapan daripada pihak defendan, sebagai mana yang dinyatakan dalam tuntutan anak guam saya.
“Arahan seterusnya ialah, kita perlu menyediakan penyata keterangan dan ikatan dokumen,” katanya yang hadir ke prosiding pengurusan kes di hadapan Pendaftar, Rashidah Sapingi @ Shafie.
Beliau berkata, mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Julai untuk sebutan kes.
Semasa prosiding itu kelak, beliau berkata, hakim syarie akan menentukan sama ada semua dokumen yang diserahkan adalah teratur atau sebaliknya, sebelum diteruskan dengan sesi perbicaraan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai ketidakhadiran bekas suami Lutfya, peguam itu berkata, defendan telah diberi pengecualian kehadiran pada prosiding lalu.
Lutfya dan Dr. Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan Laana Haura, 5.
Mereka kemudian bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada pada 17 Jun 2020.
Selepas tiga tahun bergelar duda, Dr. Hafiz berkahwin dengan pelakon Julia Farhana pada 14 Disember tahun lalu.
Leave a Reply