MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Razak yang membabitkan RM2.28 bilion kerana bekas perdana menteri itu mengalami cirit-birit.
Perbicaraan dijadualkan hari ini dan esok.
Pegawai perubatan Penjara Kajang, Dr. Mohd. Hafiz Mohd. Hoshni memberitahu mahkamah petang ini bahawa Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah mengeluarkan cuti sakit (MC) dua hari untuk Najib.
Hafiz yang dipanggil untuk memberi penjelasan kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, berkata seorang penolong pegawai perubatan di penjara itu memaklumkan bahawa Najib mengalami sakit perut dan cirit birit sejak semalam.
“Sekitar pukul 7.30 pagi, saya memeriksanya. Saya tanya dia apa masalah dan dia cakap dia sakit perut dan loya serta terpaksa ke tandas untuk buang air besar sebanyak empat kali.
“Kemudian saya berinya pil arang dan selepas 10 minit, dia kata keadaannya tak berubah. Saya periksa lebih lanjut dan dapati dia kekurangan air dan ada sedikit demam dengan suhu 37.8 darjah,” tambahnya.
Hafiz berkata dia kemudian merujuk Najib supaya ke HKL dan tertuduh dibawa ke hospital itu antara pukul 9.30 pagi dan 10 pagi tadi.
Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, pegawai perubatan itu berkata Najib kelihatan “penat, lesu dan kekurangan air.”
“Dia (Najib) tidak cergas untuk hadiri perbicaraan kerana perlu diberi ‘drip’ yang dimasukkan dalam saliran darah dan tidak mampu berdiri sebab duduk terlalu lama,” kata Hafiz, lapor Malaysiakini.
Pegawai perubatan itu, ketika menjawab soalan peguambela utama, Muhammad Shafee Abdullah, berkata dia perlu merujuk Najib ke HKL supaya tertuduh mendapat akses kepada rawatan lebih rapi daripada pakar di sana.
Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan dan mengarahkan prosiding disambung semula pada Khamis.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas menteri kewangan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
1MDB adalah dana pelaburan negara Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Najib juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Leave a Reply