ISU poligami atau lelaki berkahwin melebihi seorang wanita bukan suatu perkara baharu di negara ini termasuk juga Terengganu.
Malah, poligami merupakan antara isu cukup ‘hangat’ seringkali diperbual dan diperdebatkan oleh kebanyakan pihak sejak dari dahulu lagi.
Sejak kebelakangan ini isu berkenaan semakin menjadi tumpuan ramai apabila ia turut melibatkan dalam kalangan artis popular tanah air.
Perkahwinan antara Pengarah filem ‘box office’, Syamsul Yusoff dengan Ira Kazar dan juga pelakon N.D. Lala dengan rakan baik anaknya sendiri, iaitu penyanyi Shila Amzah telah mengemparkan dunia hiburan tanah air.
Bercakap mengenai isu poligami, sememangnya bagi kebanyakan wanita mereka cukup anti dan bencikan apabila bercakap mengenai topic ini atau golongan lelaki yang berkahwin melebihi seorang isteri.
Ini kerana, tiada siapa pun golongan wanita yang sanggup bermadu dan berkongsi suami dengan wanita lain.
Perkara ini menyebabkan timbulnya pelbagai tafsiran dan salah faham terhadap isu poligami.
Manakala bagi sesetengah lelaki berpoligami pula, sudah tentu mereka akan cuba mempertahankan setiap tindakan diambil sehingga ada di antaranya mengeluarkan jawapan spontan dengan memberi alasan ‘mengikut sunnah nabi’.
Suatu ketika penulis pernah bersembang dengan bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berhubung isu poligami di Terengganu.
Ketika mengulas isu tersebut, Shaikh Harun berpendapat banyak pihak yang salah anggap mengenai poligami.
Penulis masih teringat kata-katanya bahawa Islam sebenarnya tidak menggalakkan srseorang lelaki itu berpoligami sekiranya tidak mampu.
Sebaliknya kata beliau, poligami hanya dibenarkan secara bersyarat dan bukannya ‘kahwinlah kamu’.
Ini bermakna katanya, kalau kamu tidak yakin boleh memberi keadilan, cukuplah hanya satu sahaja, tetapi kahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan dengannya, sama ada dua, tiga atau empat sekiranya kamu yakin mampu berlaku adil.
Memetik kata-kata Shaikh Harun itu, maka setiap lelaki yang ingin berpoligami seharusnya terlebih dahulu menilai kemampuan diri sendiri termasuk dari segi kewangan dan keadilan, bagi memastikan mereka terbabit mampu mengemudikan dua bahtera dengan satu nakhoda untukmenuju ke ‘pulau idaman’ dalam suasana aman dan damai.
Yang penting, kita tidak mahu selepas membuat keputusan mengahwini wanita lain, ia disusuli pula dengan porak peranda dan keruntuhan rumah tangga yang terbina sebelum ini sehingga membawa kepada penceraian.
Harus diingat bahawa poligami itu bukan hanya kahwin berdasarkan nafsu semata-mata.
Walaupun rekod lelaki berpoligami di Terengganu masih rendah iaitu sekitar 2.5 hingga 3 peratus sahaja, namun ia perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Ia perlu kerana penulis mendapati kebanyakan golongan yang ingin berpoligami itu sanggup mengambil jalan mudah dengan melangsungkan perkahwinan di luar negara terutamanya di beberapa wilayah di Selatan Thailand.
Lebih malang, ada juga di antaranya sanggup menghabiskan wang ringgit dengan menggunakan sindiket dan agen-agen tertentu sehingga ada yang tertipu.
Malah, budaya berkahwin di luar negara termasuk menggunakan Wali Hakim dan juga sindiket-sindiket tertentu , seolah-olah semakin popular bagi golongan terbabit sedangkan mereka masih berpeluang berbuat demikian di negeri ini.
Sebelum ini, pihak JHEAT pernah memberi amaran kepada masyarakat di negeri ini bahawa budaya berkahwin di Thailand hanya memerangkap diri sendiri.
Ini kerana setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan di luar negara hanya berpeluang menikmati kesenangan hidup berumahtangga dalam tempoh untuk sementara sahaja.
Sebaliknya, mereka bakal berhadapan dengan pelbagai kesulitan dan masalah pada kemudian hari.
Antaranya termasuklah kegagalan untuk mendaftarkan kelahiran bayi di negeri ini sebaik sahaja mereka dikurniakan cahaya mata memadangkan Jabatan pendaftaran Negara (JPN) tidak akan menerima pakai surat atau sijil perkahwinan yang dikeluarkan dari negara Thailand.
Maka itu, bagi yang ingin berpoligami mereka seharusnya dapat berfikir secara rasional dan elakkan berkahwin di luar negara walaupun mempunyai alasan untuk menyembunyikan perkara berkenaan daripada pengetahuan isteri pertama.
Leave a Reply