SEORANG pekerja kilang didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka hari ini terhadap pertuduhan membunuh seorang pesara, Februari lepas.
Syafiq Raj Kalai Selvan, 27, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Syafiq bersama seorang lagi didakwa menyebabkan kematian Sa’adon Sahat, 57, di belakang bangunan premis tiga tingkat, Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim antara pukul 2.44 pagi hingga 3.10 pagi pada 27 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha manakala tertuduh diwakili peguam R. Ryshinah.
Mahkamah menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan mangsa dilanggar dengan kereta dan diseret kira-kira 20 meter oleh dua pemuda selepas mangsa menegur mereka memasang lagu terlalu kuat di dalam kereta sehingga mengganggu keamanan setempat.
Leave a Reply