TIGA termasuk seorang warga emas maut apabila sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai masuk ke laluan bertentangan dalam kejadian di KM26 Jalan Bahau-Kemayan, dekat Lui Barat, Jempol.
Dalam kejadian kira-kira 1.57 tengah hari tadi, mangsa maut adalah Sallehuddin Nong, 63, selain dua wanita, Tee Tai En, 29, dan Tin Siew Kwan, 59.
Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook berkata, kemalangan itu berlaku selepas Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan Honda CRV, dari arah Sungai Lui menuju ke Bandar Seri Jempol.
“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi serta penumpang belakang Honda CRV telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya menurut Kosmo.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Leave a Reply