SETIAP kali tibanya musim cuti sama ada cuti persekolahan mahupun cuti perayaan, kita sentiasa disajikan dengan laporan kesesakan jalan raya serta kemalangan ngeri yang turut mengorbankan nyawa manusia.
Perkara ini amat merungsingkan kita sedangkan kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan agak besar bagi mengadakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya secara berterusan dalam usaha memastikan jumlah kematian akibat kecelakaan jalan raya dapat dikurangkan.
Apa yang menghairankan semakin banyak kempen diadakan disamping meningkatkan operasi dan rondaan oleh pihak berkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun kejadian kemalangan maut di jalan raya terus berlaku.
Persoalannya kenapakah perkara ini boleh terjadi sedangkan kejadian seperti ini mampu diatasi oleh manusia yang bergelar ‘pengguna jalan raya’ sekiranya mereka sentiasa mematuhi setiap peraturan dan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan.
Penulis percaya, kemalangan boleh dielakkan sekiranya setiap pemandu kenderaan itu sendiri sentiasa berwaspada ketika berada di atas jalan raya terutama sewaktu memasuki kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi maut.
Bagaimanapun, kita mendapati, antara faktor menyebabkan kemalangan berlaku adalah berpunca daripada kecuaian dan kelalaian manusia itu sendiri.
Ini kerana, kebanyakan mereka seakan tidak sabar dan lebih bersikap pentingkan diri sendiri ketika memandu kenderaan.
Selain memandu melebihi had laju ditetapkan, ada di antaranya gemar memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat merah, jalan perlahan di laluan kanan serta memotong di laluan kecemasan.
Apa yang dikesalkan sehari berada di jalan raya, kita mendapati terdapat 1001 macam kesalahan dilakukan oleh pengguna jalan raya.
Lain-lain kesalahan yang pernah kita saksikan ialah keluar simpang secara tiba-tiba sebelum masuk ke kanan jalan, memasuki simpang tanpa memberi lampu isyarat serta tidak memasang lampu ketika cuaca mendung atau hari hujan.
Kalau dilihat sikap dan kecuaian tersebut, sudah pasti faktor jalan bukan menjadi masalah utama, sebaliknya kecelakaan itu berlaku disebabkan segelintir pemandu bertindak memandu laju, selain ada di antaranya kurang mahir dengan keadaan jalan di sesuatu tempat.
Sebab itulah, kalau kita perhatikan kebanyakan kejadian kemalangan jalan raya berlaku khususnya di Terengganu, ia hanya tertumpu di beberapa lokasi yang dikenalpasti dan boleh dikatakan pada setiap tahun kawasan berkenaan dilaporkan berlaku nahas dan kecelakaan yang ada kalanya turut meragut nyawa manusia.
Bagi negeri Terengganu, terdapat sebanyak 20 lokasi dikenalpasti sebagai kawasan hitam yang sering berlaku kemalangan maut terutama pada musim perayaan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa sebelum ini menyatakan lokasi tersebut masing-masing membabitkan empat di daerah Dungun dan Marang serta tiga di Kemaman dan Setiu.
Manakala dua kawasan hitam pula dikenalpasti di Hulu Terengganu dan Besut serta satu Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Antara lokasi kemalangan maut dan dikatakan sebagai lokasi ‘berhantu’ kerana kerapkali terjadi ialah di KM 153 jalan Jerangau-Jabor, Cheneh, Kemaman dan Sungai Ikan menghala Setiu.
Apa yang membimbangkan, kadar kemalangan di Terengganu sejak awal tahun ini dilaporkan turut meningkat kepada 3,571 kes iaitu peningkatan sebanyak 22 peratus berbanding 2,919 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Berdasarkan itulah pihak Polis terus memberikan tumpuan di semua lokasi kemalangan maut itu dengan berusaha keras membuat pemantauan disamping operasi bagi memastikan kadar kemalangan dan kematian dapat dikurangkan.
Malah, setiap operasi yang diadakan turut menempatkan anggota penguatkuasa bagi memastikan para pemandu kenderaan memathui peraturan lalu lintas disamping meneruskan kempen keselamatan jalan raya yang sedia ada.
Namun, apa yang dikesalkan sepanjang operasi diadakan, kita masih lagi mendengar laporan mengenai kejadian nahas jalan raya.
Justeru, penulis ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya memiliki kesabaran disamping memandu tidak mengikut emosi.
Selain itu, bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya disamping mengelak berlakunya tragedi kemalangan sewaktu pulang bercuti, orang ramai sewajarnya memilih untuk menaiki kenderaan awam terutama bas ekspres.
Maka itu, sudah sampai masanya kerajaan juga perlu mengadakan kempen pulang bercuti dengan kenderaan awam sama ada kapal terbang, keretapi atau bas dengan menawarkan ‘tiket rahmah’ kepada orang ramai.
Leave a Reply