Anwar tak mahu billboard gambarnya dan kerajaan Madani dipasang

Oleh BADLISHAH MAT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jabatan berkaitan untuk menghentikan pemasangan papan iklan atau billboard baharu yang memaparkan imej beliau atau tulisan kerajaan Madani di seluruh negara.

Anwar berkata, papan iklan sedia ada termasuk yang bersaiz gergasi sudah mencukupi buat masa ini tanpa perlu membuat penambahan pada masa akan datang.

Katanya lagi, papan iklan yang sudah dipasang kini juga tidak mendapat persetujuan dan kelulusan daripada beliau.

“Saya dalam perjalanan ke Alor Setar dan semalam diberitahu billboard Anwar dan Madani di seluruh negara, ini tidak mendapat persetujuan dan kelulusan saya.

“Saya sudah beritahu, tidak payah belanja (untuk) ini, (tetapi) dijawab oleh jabatan berkenaan bahawa peruntukan ini peruntukan lama dan oleh kerana pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan maka ia dipindahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Hotel Raia, Alor Setar, hari ini.

Perdana Menteri berkata, walaupun memahami peruntukan sedia ada digunakan untuk tujuan itu, namun beliau merasakan adalah lebih baik wang tersebut digunakan untuk perkara lain yang lebih bermanfaat.

“Jadi saya arahkan semua billboard baharu dihentikan, kekal yang ada sahaja dan saya tidak mahu ini diteruskan kerana ia tidak menunjukkan satu pendirian kerajaan Madani.

“Saya tidak mahu dana kerajaan digunakan untuk buat billboard besar-besaran dan cukuplah yang ada tetapi tidak boleh diteruskan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *