HARI INI, iaitu 6 Syawal 1444H merupakan hari keenam umat Islam di seluruh negara menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Walaupun 1 Syawal sudah berlalu, namun masih terdapat para perantau yang masih ‘terkandas’ di kampung halaman masing-masing.
Dalam kesempatan ini juga, penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua terutama yang mengenali penulis.
Ini kerana sebagai manusia biasa, sudah tentu kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan perkara-perkara yang boleh menyinggung perasaan seseorang secara di luar sedar.
Apabila bercakap mengenai Hari Raya, seperti juga tahun tahun kebelakangan ini, penulis mendapati kemeriahan dan keseronokannya tidak lagi seperti dahulu.
Bagi penulis, nilai-nilai dan konsep hari raya sewaktu zaman datuk nenek kita dahulu kelihatan semakin hilang dan jauh tersasar.
Walaupun kehadiran hari raya masih dinantikan, tetapi suasana serta ‘trend’ sambutannya sudah agak bebeza.
Malah, berbanding dahulu, suasana kemeriahan Hari Raya Aidilfitri sekarang ini hanya dinikmati sekejap sahaja, iaitu ketika menjelang malam hari raya dan juga pada sebelah pagi hari lebaran.
Kalau dahulu, suasana hari raya mulai terasa sewaktu umat Islam memasuki hari ke 20 menjalani ibadah puasa sehinggalah tiba hari raya keenam.
Malah, dalam tempoh tiga hari berhari raya, kebanyakan umat Islam tidak putus-putus mengunjungi rumah sanak saudara dan juga rakan taulan dengan berbaju Melayu (lelaki) dan berbaju kurung (wanita).
Pada sebelah pagi hari raya, kita benar-benar berasa terharu dan tersentuh apabila mendengar suara takbir dan tahmid yang berkumandang dari masjid-masjid dan surau serta menerusi corong radio dan kaca televisyen.
Suasan kemeriahan terus terasa apabila terdengar pula lagu-lagu raya ‘evergreen’ dendangan penyanyi lama seperti Allahyarham P.Ramlee, Saloma, Fazidah Joned, Sudirman, Sanisah Huri, S.Jibeng, Junainah M.Amin, M.Nasir, D.J.Dave, Uji Rashid, Hail Amir, Al-Jawaher dan Ahmad Jais.
Apa yang menarik, takbir raya turut dialunkan oleh imam masjid dan surau selama seminggu setiap kali selepas menunaikan solat fardu.
Kini, semuanya sudah hilang, suasana hari raya semakin suram.
Budaya menzirahi pusara, kunjung mengunjung rumah sanak sausara dan rakan taulan juga semakin dilupakan.
Yang kelihatan sekarang ini ialah suasana kesibukan dan kesesakan kenderaan bertali arus di Lebuh Raya, jalan-jalan utama sehingga ke jalan kampung akibat ramai yang pulang bercuti.
Namun, apa yang menyedihkan ada dalam kalangan perantau yang pulang itu banyak menghabiskan masa di hotel-hotel atau inap desa sahaja berbanding bersama keluarga.
Lebih malang, ada juga dari kalangan yang berduit mengambil kesempatan pulang ke kampung, tetapi bercuti di pulau-pulau peranginan?
Inilah budaya dan ‘trend’ baharu yang melanda dalam masyarakat kita sekarang ini?
Mereka pulang beramai-ramai ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga, tetapi hanya sempat beberapa jam sahaja bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.
Ada di antara mereka tidak lagi mengunjungi rumah ibu dan bapa saudara serta rakan taulan sewaktu zaman persekolahan dahulu.
Apa yang dapat disaksikan sekarang ialah mereka lebih gemar berhari raya di pantai-pantai peranginan serta taman rekreasi.
Ini menyebabkan budaya kunjung mengunjung antara satu sama lain yang menjadi amalan orang dulu-dulu kelihatan semakin pudar dan terhakis.
Mereka lebih gemar membawa haluan sendiri.
Barangkali berpunca daripada kesuntukan masa untuk kembali bertugas kerana mendapat cuti yang pendek.
Manakala bagi kanak-kanak pula, mereka lebih gemar berkurung di dalam rumah untuk menonton pelbagai program menarik menerusi kaca televisyen serta bermain gajet.
Kalau dilihat ‘trend’ sambutan hari raya sekarang, tidak mustahil suatu hari nanti, kemeriahannya akan terus lenyap, sekali gus amalan serta budaya yang menjadi tradisi dalam masyarakat kita ini juga akan hilang ditelan zaman?
Leave a Reply