Anwar PM paling teruk jika gagal tunai janji reformasi, kata Suaram

DATUK Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri paling teruk jika gagal menunaikan janji reformasi yang telah dibuat Pakatan Harapan (PH) selama ini, kata Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Menyifatkan kerajaan lambat dalam memperkenalkan dasar berkaitan melindungi hak asasi manusia, pengarah eksekutif kumpulan hak asasi manusia itu Sevan Doraisamy mempersoalkan tekad politik kerajaan untuk mengubah undang-undang zalim dan kuno di negara ini.

Beliau berkata, mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada Anwar, yang telah menjadi mangsa kezaliman polis dan mangsa penahanan tanpa bicara, untuk melakukan sesuatu sekarang ketia dia mempunyai kuasa.

“Jadi, sebagai bekas mangsa, (dan dikenali sebagai) Bapa Reformasi, harapan itu (tinggi).

“… apa yang kita nak lihat antara menteri sebelum ini dan perdana menteri sekarang, saya nak kata Anwar adalah pilihan yang lebih baik berbanding PM sebelum ini, kerana agenda reformasi dan latar belakangnya.

“Tetapi dengan latar belakang itu, jika dia gagal melaksanakannya, dia akan menjadi perdana menteri yang paling teruk. Kerana perdana menteri sebelum ini tidak banyak memberikan janji dari segi reformasi dan semua itu,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Beliau menyatakannya semasa persidangan yang diadakan di Kuala Lumpur untuk melancarkan Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia Suaram 2022 hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung pentadbiran persekutuan pimpinan Anwar, termasuk sama ada Suaram berpuas hati dengan usaha hak asasi manusia yang telah diambil oleh kerajaan sejak ia berkuasa pada November tahun lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *