Muhyiddin mahu Lim buktikan MOF tak batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Lim Guan Eng mengemukakan bukti di mahkamah bahawa Kementerian Kewangan tidak membatalkan status pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary.

Dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman Lim, Muhyiddin menyuarakan keraguannya berhubung kesahan kenyataan kementerian itu pada bulan lalu bahawa bukan kementerian mahupun pegawainya yang membatalkan status tersebut.

“Kecuali bahawa Kementerian Kewangan pada 23 Mac 2023 telah membuat kenyataan media yang menyatakan bahawa bukan sahaja mantan menteri kewangan bahkan pegawainya tidak membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Al-Bukhary, defendan tidak membuat apa-apa pengakuan kepada perenggan 28 pernyataan tuntutan.

“Malah, defendan menafikan kebolehpercayaan kenyataan yang dibuat oleh kementerian kewangan pada 23 Mac 2023 dan meletakkan plaintif atas beban pembuktian yang kukuh,” kata pernyataan pembelaan yang difailkan peguam Muhyiddin semalam.

Pernyataan pembelaan Muhyiddin itu berhubung saman fitnah yang difailkan Lim terhadapnya.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa Lim bertanggungjawab ke atas pembatalan status pengecualian cuki Yayasan Albukhary milik hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Bulan lalu, Kementerian Kewangan dalam kenyataannya menafikan salah seorang pegawainya telah meluluskan pembatalan status tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ketika sidang Parlimen berkata tiada rekod bahawa Lim yang melakukannya.

Berhubung perkara itu, Muhyiddin mendakwa kenyataan Anwar ‘langsung tidak relevan’ dan hanya untuk mengalihkan perhatian agar Lim tidak dipertanggungjawabkan atas tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung perkara itu.

“Kebergantungan plaintif atas kenyataan yang dibuat oleh Anwar dalam Parlimen adalah suatu pengalihan dan fait accompli untuk mengalihkan perhatian daripada keengganan plaintif untuk didapati bertanggungjawab bagi tindakan LHDN semasa dia memegang jawatan sebagai menteri kewangan,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau membuat kesimpulan tersebut berdasarkan surat yang diterima daripada Syed Mokhtar yang merayu terhadap keputusan pembatalan itu.

Katanya, Syed Mokhtar tidak akan membuat permohonan itu sekiranya LHDN mengiktiraf status pengecualian cukai yayasannya, yang diberikan oleh kerajaan pimpinan BN sebelum PRU14.

LHDN adalah di bawah bidang kuasa menteri kewangan. Pada masa yang material, plaintif adalah menteri kewangan ketika itu dan secara semula jadi, LHDN berada di bawah bidang kuasanya.

“Sehubungan itu, plaintif sepatutnya memberi penjelasan mengenai perubahan keadaan berkaitan dengan perubahan kedudukan yang diambil oleh LHDN sebelum dan selepas PH berkuasa pada 2018.

“Defendan seterusnya menyatakan bahawa dia sedar bahawa kementerian kewangan telah membenarkan rayuan oleh Yayasan AlBukhary sekitar 2021.

“Oleh itu, dia dibenarkan membuat inferens dan membuat kesimpulan bahawa pengecualian cukai tersebut telah dibatalkan, jikalau tidak, ia adalah tidak diperlukan untuk kelulusan diberikan oleh kementerian kewangan pada 2021,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *