Syarikat peruncitan mengaku tidak bersalah jual telur lebih harga maksimum

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEBUAH syarikat peruncitan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas atas pertuduhan, menjual telur melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan di Bandar Dato Onn, pada 2 Januari lalu.

Pengarah syarikat berkenaan iaitu seorang wanita berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, rangkaian kedai runcit milik syarikat terbabit menjual barangan harga terkawal iaitu telur ayam gred B dengan harga 70 sen sebiji.

Nilai itu melebihi harga maksimum runcit yang ditentukan dalam Jadual Ketiga (Perenggan 4) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) iaitu 43 sen sebiji.

Kesalahan dilakukan di premis Kumpulan Usaha Keluarga Jaya Sdn. Bhd. di 44, Jalan Perjiranan 2, Bandar Dato Onn, Johor Bahru pukul 11.30 pagi, 2 Januari lalu mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 18 (a) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff, manakala syarikat berkenaan diwakili peguam Farah Wahidah Mohd. Sharip.

Mahkamah menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *