TIKET penerbangan kelas ekonomi bagi penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada 20 April ini menjangkau RM5,437, kata laporan.
Memetik laporan Berita Harian, harga tiket itu dikenakan sebuah syarikat penerbangan tempatan pada 20 April ini, menjelang Aidilfitri.
Semakan dibuat portal itu di laman tempahan dalam talian, mendapati harga berkenaan ditetapkan untuk penerbangan pada pukul 8 pagi.
Lebih melampau, penerbangan itu bukanlah untuk perjalanan tanpa henti, antara kedua-dua destinasi, sebaliknya pesawat akan transit di Kota Kinabalu selama empat jam.
Biarpun memaparkan beberapa pilihan pada laman sesawang terbabit, kadar tiket paling rendah dikenakan pada tarikh berkenaan adalah berharga RM2,222 iaitu untuk penerbangan tanpa henti pada pukul 9.05 malam.
Semakan lanjut bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak pula, kadar maksimum yang dikenakan untuk tarikh sama adalah pada harga RM3,114 bagi kelas ekonomi, perjalanan sehala pukul 8.55 pagi.
Tambang paling rendah bagi laluan serupa ditetapkan pada harga RM629 untuk seorang penumpang.
Kadar tiket yang ditetapkan untuk penerbangan ke Sabah dan Sarawak itu dilihat lebih mahal berbanding tambang tiket sehala dari Kuala Lumpur menuju ke Sydney, Australia.
Sementara itu, bagi penerbangan ke Sydney untuk tarikh 20 April ini, tambang yang dikenakan ialah pada RM1,835, untuk perjalanan sehala.
Terdahulu, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menerusi ciapan di Twitter mempertikai harga tiket penerbangan menjelang perayaan Aidilfitri terutama dari ibu negara ke Sabah yang disifatkan terlalu mahal dan mengecewakan orang ramai.
Beliau mendakwa, hasil semakan tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kelas ekonomi untuk penerbangan pada 20 April ini, menjangkau sehingga RM3,138.
Beliau dilaporkan berkata, syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah kekerapan penerbangan selagi ada kemampuan kerana tiada lagi sekatan had penumpang sebanyak 50 peratus ketika COVID-19 dikenakan.
Katanya, kekerapan penerbangan juga tidak lagi dikawal oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah atau Sarawak selain wujud syarikat penerbangan tambang murah baharu, MYAirline.
Leave a Reply