Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG pekerja sambilan sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Zakir Ramli, 29 membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berupa gambar lucah kepada seorang individu dengan niat untuk menyakitkan hati.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan menggunakan aplikasi Whatsapp antara 7.30 pagi, 20 Mei 2021 hingga 3.02 pagi, 28 Mei 2021.
Mesej itu kemudiannya telah dilihat individu berkenaan kira-kira pukul 12.11 tengah hari, 28 Mei 2021 di sebuah syarikat di Jalan Bukit Wang, Kampung Padang Panjang, Jitra.
Difahamkan mangsa merupakan seorang wanita berusia 29 tahun yang turut mempunyai hubungan persaudaraan dengan tertuduh.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nazrul Nizam Mohd. Zameri mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksium RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah itu dikurangkan kerana pendapatan bulanannya selaku pekerja sambilan hanyalah sebanyak RM1,400 selain perlu menyara isteri dan seorang anak.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin selain menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.
Leave a Reply