Dakwaan PN mahu tukar ketua pembangkang tak betul, kata Tuan Ibrahim

DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan laporan sebuah portal kononnya Perikatan Nasional (PN) akan menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang gabungan itu di Dewan Rakyat.

“Tak betul,” kata ahli Majlis Tertinggi PN itu ringkas dalam mesej WhatsApp kepada Free Malaysia Today, merujuk laporan Malaysia Gazette bahawa Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor disebut-sebut sebagai pengganti Hamzah.

Terdahulu, portal itu melaporkan PN dijangka membuat penggantian itu atas kegagalan Hamzah memainkan peranannya sebagai ketua pembangkang yang aktif sepanjang sidang Dewan Rakyat dari 3 Feb hingga 4 April lalu.

Dalam pada itu, Khlir berkata, sebagai ketua pembangkang, Hamzah perlu hadir ke Dewan Rakyat untuk berdepan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagi membahaskan isu rakyat.

“Kita nak bahas. ‘By right’ ketua pembangkang (kena ada), tapi kebanyakan masa perdana menteri ada, ketua pembangkang tiada,” katanya yang mengakui tidak tahu khabar angin dirinya disebut-sebut sebagai pengganti Hamzah.

Beliau berkata, ketiadaan Hamzah di Dewan Rakyat kerana menjalani rawatan sakit mata.

“Hamzah mata dia sakit sebab itu dia tak masuk dewan banyak kali, sebab dia tak sihat…dia bukan sengaja tak nak datang. Saya ingat dah dua kali pembedahan mata.”

Khlir tidak menolak kemungkinan namanya disebut-sebut disebabkan pengalamannya, selain beliau terkenal dengan jolokan “kaki balun orang” di Dewan Rakyat.

“Mungkin mereka dah kaji perkara ini. Pasal apa? Saya sudah 40 tahun dalam (Angkatan Tentera bahagian) perisikan, saya pencen mejar jeneral, jadi dia tengok pengalaman saya banyak, itulah mungkin nama saya terselit. Agak-agak saja, tapi tak ada orang pun cakap dengan saya.

“Dia tengok saya selalu pergi seminar, ke luar negara, sebab saya ketua perisikan, agaknya dia tengok sesuai nak berbahas, tapi saya baru sertai parti politik, saya sudah lama berada dalam perkhidmatan awam.”

Ditanya jika ada keperluan untuk melantik ketua pembangkang baharu, Khlir berkata, Hamzah masih sesuai memegang jawatan itu berdasarkan pengalamannya.

“Hamzah bagus, dia sesuai jadi ketua pembangkang, dia orang lama. Lagipun, dia ada latar belakang perundangan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *