Saman 1MDB terhadap anak tiri Najib dibicara penuh tahun depan

SAMAN 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah US$248 juta terhadap penerbit filem Hollywood, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikat miliknya akan melalui perbicaraan penuh pada Oktober dan November tahun depan.

Peguam Riza, Desmond Low ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Dia berkata kes akan dibicarakan di depan hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan pada 16 hingga 18 Oktober, 21 hingga 25 Oktober, 28 Oktober dan 1 November dan 4 November 2024.

Desmond memaklumkan perkara itu selepas pengurusan kes saman tersebut dengan Raja Ahmad Mohzanuddin hari ini, lapor MalaysiaKini.

Dua syarikat Riza adalah Red Granite Pictures Incorporated and Red Granite Capital Limited.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan subsidiarinya memfailkan saman terhadap Riza dan dua syarikat itu atas dakwaan memperdaya dan menyalahgunakan US$248 juta miliknya untuk kepentingan peribadi, termasuk mendanai penerbitan filem dan membeli hartanah.

Plaintif mendakwa memandangkan Riza menguruskan kedua-dua syarikat itu, dia sepatutnya tahu yang dana yang berasal dari 1MDB itu telah disalahgunakan.

Plaintif antara lain menuntut pengisytiharan yang Riza bertanggungjawab terhadap dana tersebut dan membayarnya semula.

Dalam pernyataan pembelaannya, Riza mendakwa wang tersebut diterima menerusi pinjaman daripada kerabat diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC), bukannya 1MDB.

Anak tiri Datuk Seri Najib Razak itu mendakwa sebagai penerbit filem yang tidak dikenali, sukar untuknya mendapatkan pinjaman daripada bank komersial dan ia membuatkannya perlu mencari dana daripada individu atau syarikat.

Pada 5 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan 1MDB utnuk mendapatkan dokumen bagi saman itu.

Dokumen yang diminta berkaitan resit dan penggunaan US$10,173,104 oleh Red Granite Pictures dan US$238 juta oleh Red Granite Capital Limited.

Selain 1MDB, tiga lagi plaintif adalah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *