Koperal tentera hilang semasa operasi di Hutan Simpan Belum ditemui maut

SEORANG anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi bersama lima anggota lain di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Jumaat lalu ditemukan meninggal dunia, hari ini.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mayat anggota dari Batalion ke-35 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang berusia 33 tahun itu dijumpai pukul 10.15 pagi tadi.

“Ya sudah jumpa (mangsa). Saya akan dapatkan laporan penuh dan muktamadkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dahulu dan siaran media mengenainya akan saya keluarkan, terima kasih,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Bagaimanapun polis belum mendedahkan identiti mangsa ketika tular dalam media sosial Facebook berita berkaitan kehilangan anggota berkenaan dikenali sebagai Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Kelmarin, media melaporkan mengenai kehilangan mangsa ketika menjalankan tugas operasi bersama lima anggota lain kira-kira pukul 5 petang Jumaat lalu.

Kehilangan mangsa yang merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu itu dilaporkan kepada polis pada pukul 12.50 tengah malam Ahad lalu.

Usaha mencari dan menyrlamst (SAR) mangsa dijalankan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula pada hari yang sama mangsa hilang (7 April).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *