Kontraktor dijel 10 tahun, 6 sebatan cederakan dua bapa saudara

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini mengurangkan tempoh hukuman penjara seorang kontraktor kepada 10 tahun dan enam kali sebatan bagi dua kesalahan menyebabkan kecederaan parah kepada dua bapa saudaranya.

Nik Muhammad Syafir Mat Rof, 29, sebelum ini dihukum penjara 12 tahun dan lima kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen bagi setiap kesalahan.

Bagaimanapun, dia diperintah menjalani hukuman itu secara serentak.

Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan serta hukuman Nik Muhammad Syafir dan tertuduh kemudian mengemukakan rayuan terhadap hukuman.

Pada prosiding pada Rabu, panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Nik Muhammad Syafir.

Hanipah, yang menyampaikan keputusan mahkamah, berkata hukuman penjara dan sebatan yang dikenakan terhadap tertuduh adalah keterlaluan.

Pada 30 April 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Nik Muhammad Syafir dan sepupunya, Muhamad Pazir Yahya, 41, juga seorang kontraktor, bersalah atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap Nik Rosdi Abdullah, 43, dan Nik Rohimi Abdullah, 27.

Nik Rosdi adalah seorang pemandu bas manakala Nik Rohimi bekerja sebagai tukang rumah.

Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh bersama enam lagi telah menyerang Nik Rosdi dan Nik Rohimi menggunakan pedang, batang besi serta kayu di Kampung Gong Pasir, Daerah Pasir Putih, Kelantan pada 5 petang 20 Sept 2017.

Mahkamah Rayuan turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhamad Pazir yang gagal hadir pada prosiding hari ini dan memerintahkan penjaminnya mengemukakan alasan munasabah berhubung perkara itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mei untuk sebutan semula bagi kes waran tangkap itu.

Terdahulu, peguam Cheah Poh Loon yang mewakili Nik Muhammad Syafir memohon agar hukuman tertuduh diringankan kerana insiden itu turut membabitkan individu lain yang masih bebas dan mendakwa mereka menyerang kedua-dua mangsa akibat salah faham.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman pula memohon mahkamah mengekalkan hukuman penjara 12 tahun kerana kecederaan yang dialami mangsa adalah serius.

Beliau turut merujuk kes Azman Bin Din melawan Pendakwa Raya yang menyaksikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM10,000 bagi kesalahan serupa.

Muhamad Pazir diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *