MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang ‘runner insurans’ selepas mengaku bersalah memiliki video lucah kanak-kanak dalam komputer ribanya.
Tertuduh, Wan Azhar Wan Ismail, 57, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda dikenakan.
Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikenakan ke atasnya, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengakses serta mempunyai dalam milikan dan kawalan suatu bahan pornografi kanak-kanak iaitu rakaman video lucah dalam simpanan komputer riba.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kuala Terengganu, pada 9.30 malam, 6 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Najwa Mohd. Ali manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Leave a Reply