BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang didakwa atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis akan dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes pengubahan wang haram (AMLA), esok.
Azlan, 65, dijangka dituduh berdasarkan jemputan liputan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain ahli politik itu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif, sebuah institut automotif turut dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan kes berasingan.
“Dimaklumkan, SPRM telah mendapat izin mendakwa dua individu bagi kes berasingan pada ketetapan pada pukul 9 pagi, 12 April.
“Sehubungan itu, wartawan dan jurugambar dijemput untuk membuat liputan pertuduhan ini,” kata kenyataan berkenaan, lapor Sinar Harian.
Semalam, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri itu.
Leave a Reply