TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan, akan ada beberapa bekas nama besar dan berpengaruh dari UMNO dijangka menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Beliau membayangkan perkembangan tersebut adalah ‘sesuatu berita baik buat PN’.
“Saya fikir akan ada beberapa kejutan… ada sesuatu berita baik,” kata Tuan Ibrahim kepada FMT.
“Negara kita ni suka terkejut-kejut, saya nampak macam terkejut belaka.”
Beliau berkata demikian mengulas laporan beberapa bekas pemimpin UMNO akan menyertai Pas.
Antara bekas pemimpin UMNO dilaporkan berminat menyertai Pas ialah bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang dipecat Disember lalu.
Tindakan beberapa bekas pemimpin UMNO itu dipercayai bagi melebarkan penguasaan PN di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, selain mengekalkan negeri dikuasai mereka seperti di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Sebelum ini, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata beberapa pemimpin kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai Pas dalam masa terdekat.
Memetik laporan Malaysiakini pada 29 Mac, Annuar yang juga bekas menteri era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sudah mengisi borang keahlian Pas, namun bercadang mengumumkan penyertaannya selepas Aidilfitri.
Laporan itu tidak menolak kemungkinan Annuar menjadi calon pada PRN nanti.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yakin slogan ‘PN Best’ yang berjaya menambat hati pengundi di 74 kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih bersama gabungan itu, walaupun beberapa pemimpin utamanya kini berdepan kes mahkamah.
Katanya, majoriti pengundi mereka yang berada dalam kelompok ‘atas pagar’ memahami tuduhan dibuat terhadap pemimpin PN bersifat pendakwaan terpilih, ketika beberapa kes seperti penyelewengan dana kapal tempur pesisir (LCS) tidak dibawa ke mahkamah walaupun siasatan telah selesai.
“Kita akui pendakwaan ini akan memberi kesan khususnya golongan atas pagar tetapi rakyat faham pertuduhan dibuat (ke atas pemimpin PN) dan bagaimana kes itu,” katanya merujuk kepada empat tuduhan salah guna kuasa yang dihadapi Muhyiddin berkait program Jana Wibawa bernilai RM232.5 juta.
“Gelombang anak muda masih bersama kita.”
Slogan PN Best bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ mencetuskan gelombang hijau pada PRU15 yang mana majoriti pengundi gabungan itu adalah anak muda selepas pengundi berumur 18 tahun pertama kali dibenarkan membuang undi.
Leave a Reply