Ajal penoreh getah dibelit ular sawa enam meter

SEORANG penoreh getah maut setelah dibelit seekor ular sawa sepanjang enam meter dalam kejadian di sebuah kebun getah dekat Desa Sukajaya, Bayung Lencir, Sumatera Selatan di Indonesia Jumaat lalu.

Memetik laporan Tribun News, mangsa yang dikenali sebagai Sangadah, 50, sempat menjerit meminta pertolongan ketika kakinya dibelit reptilia berkenaan.

Rakan mangsa yang mendengar jeritan Sangadah bagaimanapun tidak berani menghulurkan pertolongan.

Difahamkan, rakan mangsa pergi meminta bantuan penduduk kampung dan setibanya di lokasi kembali, Sangadah dilihat tidak bermaya kerana ular sawa tersebut telah membelit badannya sehingga paras dada.

Penduduk kampung kemudian bertindak membunuh ular sawa tersebut.

Namun Sangadah telah meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas.

Seorang anak mangsa, Ma’ruf Tamami berkata, ibunya pergi ke kebun getah untuk menoreh seorang diri pada pukul 6 pagi.

“Seorang saksi melihat kaki ibu dibelit, dia yang panik segera memanggil penduduk untuk membunuh ular sawa itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sukajaya, Sunarto berkata, ketika ditemui, ular tersebut masih hidup dan segera dibunuh bagi menyelamatkan mangsa.

“Selama ini mangsa sering menoreh getah sendirian di kebun dan tidak pernah berlaku kes manusia diserang ular di kawasan ini,” tambahnya.

Menurut Mukim Bayung Lencir, M Imron berkata, kes ini merupakan kejadian pertama penduduk mati dibelit ular.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *