MAHKAMAH Majistret Muar hari ini menjatuhkan hukukan denda RM1,000 terhadap peniaga makanan atas tuduhan menyediakan kari ayam yang tercemar, tahun lalu.
Tertuduh, Nur’aisyah Ismail, 64, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Majistret Nurfarah Syuhadah Mohd. Noh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, lapor Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menyediakan makanan sedia dimakan yang tercemar dengan mikroorganisma patogenik Coagulase positive staphylococci.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di restoran di Jalan Arab, di Muar pukul 3 petang, 24 Oktober 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 397(1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Muar, Muhamad Shah Hanadi Khairul Anuar memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan orang awam.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda yang rendah kerana sedar kesalahan dilakukan dan berjanji lebih berhati-hati serta tidak akan mengulangi kesalahan pada masa akan datang.
Leave a Reply