DUA lelaki maut selepas Proton Wira dinaiki mereka melanggar papan tanda lalu terjunam ke anak sungai sedalam kira-kira satu meter di Kilometer 6, Jalan Parit Botak, Ayer Hitam, Batu Pahat, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa iaitu pemandu berusia 21 tahun dan penumpang berusia 22 tahun dalam perjalanan dari Parit Tengah Parit Raja menghala ke arah Ayer Hitam.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati PROTON Wira dipandu mangsa hilang kawalan hingga terbabas ke sebelah kanan jalan lalu terlanggar papan tanda jalan dan terjunam ke Sungai Parit Kuari.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang yang juga warga tempatan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan bomba dari Balai Bomba Ayer Hitam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Kita memohon mana-mana saksi awam yang melihat kemalangan itu supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Salmiah Mohamed di talian 074327704,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba, Mohd Shamin Mohamed Salikin, berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dihantar ke tempat kejadian.
Beliau berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sehingga selesai.
“Selepas dibuat pengesahan oleh pembantu pegawai perubatan, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 8.53 pagi tadi,” katanya, lapor BH Online.
Leave a Reply