Sekatan perjalanan Muhyiddin ditarik balik, mahkamah diberitahu

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sekatan perjalanan terhadap bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ditarik balik.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mewakili kerajaan susulan permohonan cabaran perundangan oleh Bersatu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kepada Jabatan Imigresen larangan itu ditarik balik pada 22 Mac.

Justeru Shamsul berkata, sejak larangan itu ditarik balik, usaha Muhyiddin dan Bersatu untuk mencabar larangan itu kini telah menjadi akademik.

“Dia (Muhyiddin) didakwa (di Mahkamah Sesyen) bulan lepas dan mahkamah telah memerintahkan dia menyerahkan pasport sebagai sebahagian daripada syarat jaminannya,” katanya, menurut laporan Free Malaysia Today.

Mengulas lanjut Shamsul berkata, Muhyiddin boleh meminta mahkamah menyerahkan pasportnya buat sementara waktu jika dia mahu melakukan perjalanan.

Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum ini mendakwa sekatan perjalanan dikenakan ke atasnya secara salah dan dia sendiri tidak dimaklumkan mengenainya.

Beliau juga berkata, sekatan itu bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya dan seolah-olah dia telah melakukan jenayah dan cuba melarikan diri.

Ia juga melanggar hak perlembagaannya, katanya.

Bersatu juga telah memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya, atas alasan ia dilakukan dengan berniat jahat.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili parti itu, memberitahu mahkamah masih terdapat isu dipertikai dan perlu didedahkan pada pendengaran substantif semakan kehakiman.

Beliau berkata, mahkamah perlu membenarkan kes itu diteruskan ke peringkat seterusnya.

Rosli juga menegaskan bahawa Jabatan Imigresen telah memfailkan afidavit dengan mendakwa sekatan perjalanan itu dimohon SPRM, tetapi tidak memberikan justifikasi mencukupi seperti dikehendaki.

“Mereka hanya menyerahkan kesalahan kepada SPRM.

“Tiada juga notis memaklumkan (Muhyiddin) disekat daripada melancong, sehinggalah dia sendiri yang mengetahuinya ketika mahu pergi berucap di forum luar negara,” katanya.

Selain itu, peguam itu berkata, keputusan SPRM membekukan akaun Bersatu dibuat dengan niat jahat dan mahkamah perlu menyiasat proses membuat keputusan agensi itu.

Beliau berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan pegawai kanannya, Hishamuddin Hashim, adalah individu “bermasalah” kerana Azam “sebelum ini terlibat” dalam “perdagangan saham”, dan Hishamuddin dalam “kes Teoh Beng Hock”.

“Tiada apa yang diperkatakan tentang ‘salah laku’ mereka di bawah kerajaan ini,” kata Rosli.

Beliau berkata, siasatan pembekuan akaun dan pendakwaan terhadap Muhyiddin dan Bersatu telah dilakukan secara kolateral oleh kerajaan untuk memusnahkan parti pembangkang.

“Pembangkang tidak boleh dibunuh, kalau tidak demokrasi akan mati,” tambahnya.

Sebagai maklum balas, Shamsul berkata, perintah pembekuan akaun oleh SPRM tidak boleh disemak mahkamah, kerana ia adalah sebahagian daripada proses siasatan.

Beliau berkata, mahkamah telah mengambil pendirian bahawa “membenarkan semakan kehakiman terhadap pelaksanaan fungsi berkaitan penyiasatan jenayah akan memberi ruang awam untuk mencabar setiap pelaksanaan fungsi sedemikian, yang akan membawa kepada banyak huru-hara dan gangguan awam”.

Hakim Ahmad Kamal Shahid menetapkan 17 Mei untuk keputusan sama ada membenarkan permohonan Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *