PERMOHONAN Bersatu untuk memulakan cabaran undang-undang bagi membatalkan pembekuan dua akaun banknya dan menarik balik larangan perjalanan ke atas pasport Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah akan diketahui pada 17 Mei ini.
Memetik laporan Malaysiakini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan keputusan permohonan memberi kebenaran kepada parti pembangkang itu bagi meneruskan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan SPRM serta Jabatan Imigresen.
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid sebelum ini mendengar hujahan lisan daripada peguam Bersatu Rosli Dahlan serta peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili kerajaan.
Sekiranya Bersatu mendapat kebenaran, mahkamah kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujahan daripada pihak lawan mengenai merit semakan kehakiman berkenaan.
Pada 8 Mac, Bersatu memfailkan tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaun banknya serta keputusan pihak imigresen menyenaraihitamkan bekas perdana menteri Muhyiddin.
Bersatu, yang juga parti gabungan Perikatan Nasional mencabar keputusan SPRM untuk membekukan satu akaun di CIMB Islamic Bank Berhad dan satu lagi di AmBank (M) Berhad.
Parti pembangkang juga berusaha untuk membatalkan keputusan Jabatan Imigresen yang mengenakan larangan perjalanan ke atas Muhyiddin.
Menurut salinan afidavit menyokong semakan kehakiman, Setiausaha Eksekutif Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya berhujah bahawa pembekuan akaun itu sebahagian konspirasi jahat kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi.
Suhaimi mendakwa perkara ini ditunjukkan Anwar, pada minggu pertamanya sebagai perdana menteri, apabila dia mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran terdahulu di bawah Muhyiddin telah menyalahgunakan RM600 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi.
Menerusi afidavit berasingan untuk menyokong cabaran terhadap larangan perjalanan pula, Muhyiddin berhujah bahawa dakwaan palsu yang dilemparkan terhadap Bersatu serta dirinya dan ahli keluarganya didorong niat memupuk kebencian dan kemarahan orang ramai terhadapnya serta memudahkan untuk memusnahkan Bersatu.
Pada 1 Feb, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan akaun Bersatu dibekukan dan di bawah siasatan berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Leave a Reply