Jurujual dituduh pandu melulu hingga sebabkan kematian

SEORANG jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor Isnin minggu lalu.

Tan Min Chun, 32, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong, di sini pada 3.30 petang 27 Mac, dengan memandu kenderaan jenis Mazda CX5 secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohd Kamarul Shahril A Samad, 43.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh, namun peguam, Tan Song Yan yang mewakili Min Chun memohon ia dikurangkan atas alasan anak guamnya masih menanggung isteri dan anak berusia setahun selain menjaga ibu sudah berusia.

Majistret Siti Zubaidah Mahat membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *